MUKADIMAH
Assalamualaikum w.b.t dan salam
sejahtera,
Selamat melangkah ke Tahun Baru 2013. Marcapada, peranan guru dilihat lebih mencabar, apabila golongan guru
semakin mendapat perhatian masyarakat sekeliling. Oleh itu seluruh warga
pendidik SMKSB hendaklah memastikan martabat perguruan dipertingkatkan. Kualiti
guru mesti diperkukuhkan dan diperkasakan mengikut perubahan pendidikan semasa
seiringan dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam masa yang
sama, warga pendidik terutamanya guru hendaklah mempersiapkan dan melengkapkan
diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran pedagogi yang tinggi agar proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dapat dimantapkan lagi bagi
meneruskan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar di sekolah
ini. Negara bukan sahaja memerlukan guru yang mahir mengajar malah sebagai
pemikir kritis yang boleh menyumbang kepada pengukuhan agama, kecemerlangan
bangsa dan pembangunan Negara.
Di samping itu, guru-guru juga seharusnya sentiasa peka dan seiring
dengan dasar-dasar baru Kementerian Pelajaran seperti dasar Memartabatkan
Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS) menggantikan peperiksaan, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR),
Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), Literasi Numbers (LINUS),
pembelajaran sepanjang hayat dan peluang pembelajaran untuk semua. Saya juga
berharap SMKSB dapat menyediakan modal insan yang berkualiti tinggi dan mulia
bagi menghasilkan warganegara yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti
yang dihasratkan oleh Perdana Menteri kita dalam Bidang Keberhasilan Utama
Negara (NKRA).
Sejajar dengan moto sekolah ”Berusaha,
Berilmu, Beramal”, saya sekali lagi menyeru agar warga pendidik SMK Sinar
Bintang dapat memberikan komitmen yang tinggi berlandaskan nilai-nilai murni
yang positif serta etika kerja yang mulia sebagaimana yang terkandung dalam
Teras Perkhidmatan Awam. Ini amat bersesuaian dengan
prinsip haluan kerja pendidikan yang diperkenalkan iaitu Prinsip XPLUS (Excellence,
Pengetahuan, Latihan, Usaha dan Sepasukan). Dengan mengamalkan kerja
berpasukan, InsyaAllah Visi dan Misi sekolah akan tercapai.
Sekian, salam hormat dan wassalam.
YANG RAJIN CARI JALAN,
YANG MALAS CARI ALASAN.
( CHE YAH B CHE SOH )
Pengetua
SMK Sinar Bintang,
Segambut, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment