Wednesday, 8 May 2013

Bengkel Pemasangan Komputer



Apakah Tujuan Bengkel Pemasangan Komputer?

Aktiviti pemasangan sendiri komputer dilaksanakan dengan tujuan untuk
membolehkan pelajar:

1. Memasang komponen-komponen komputer terpisah untuk menghasilkan sistem
komputer yang lengkap dan berfungsi mengikut spesifikasi yang dikehendaki.

2. Memasang Sistem Pengendalian (OS) dan perisian aplikasi asas.

3. Menyuai dan mengkonfigurasi papan induk (motherboard), kad-kad peranti dan
perisian-perisian supaya memenuhi keperluan sistem dan kehendak pengguna.

4. Mengdiagnosa dan memperbaiki sistem komputer yang gagal berfungsi.



Kebaikan: 

1. Proses pemasangan komputer sendiri membolehkan pelajar mendapatkan
pengetahuan dan fahaman yang lebih mendalam tentang apa yang tersembunyi di
dalam kotak logam yang dinamakan komputer itu.

2. Peroses PSK dapat membina pengetahuan, kemahiran dan keyakinan pelajar untuk
menjalankan kerja penyenggaraan, baikpulih mudah dan naiktaraf sistem
komputer bila perlu dan ini untuk jangka panjang akan menjimatkan perbelanjaan.

3. Pelajar akan menjadi pengguna yang berpengetahuan dan bijaksana berkaitan
pemilihan dan pembelian barangan IT.

4. Menyediakan pelajar dengan kemahiran yang sangat diperlukan dalam pasaran
kerja.










Keselamatan

1. UTAMAKAN KESELAMATAN ANDA. Pastikan anda sentiasa mengamalkan
peraturan dan prosedur kerja yang selamat dan tidak melakukan kerja pemasangan
secara bersendirian tanpa bimbingan dan kehadirian guru.

2. Kemaskan tempat kerja anda dan pastikan anda mempunyai ruang yang
mencukupi untuk menjalankan kerja pemasangan. Wayar-wayar, skru-skru yang
berselerak boleh menjadi punca kemalangan.

3. Pastikan suis elektrik dimatikan dan palam elektrik ditanggalkan dari soket
sebelum anda memulakan kerja pemasangan atau penyenggaraan komputer.

4. Air merupakan pengalir (konduktor) elektrik yang boleh menyebabkan kebocoran
elektrik atau kejutan elektrik. Pastikan tangan anda kering semasa menjalankan
aktiviti .

5. Baca manual dan nota pemasangan yang dibekalkan bersama peranti yang dibeli
sebelum memulakan kerja pemasangan.

6. Jangan melakukan kerja secara gopoh-gapah. Fikir dahulu sebelum bertindak.


7. Nyahcas badan anda sebelum menyentuh bahagian-bahagian komputer. Cas statik
yang terkumpul pada badan anda mungkin merosakkan litar elektronik dalam
komputer. Nyahcas badan anda dengan menyentuh bahagian logam casing
komputer power supply atau dengan menggunakan anti statik wrist strap


8. Jangan membuka monitor atau power supply. Monitor komputer mungkin masih
menyimpan cas elektrik yang banyak walaupun sambungan kepada bekalan
elektrik telah diputuskan dan cas ini boleh menyebabkan kejutan elektrik yang
serius jika anda membuka monitor dan tersentuh bahagian tertentu.

9. Jangan memasang kabel secara paksaan. Pastikan pin dan lubang pada
penyambung telah dijajarkan (aligned) sebelum memasang kabel.


10. Bila memegang kad ingatan (memory card) atau kad penyesuai (adapter card),
elakkan daripada menyentuh bahagian logam pada kad supaya cas elektrostatik
tidak merosakkan litar elektronik. Pegang tepi kad yang terdiri daripada bahan
plastik.

11. Sentiasa menyimpan modul RAM atau kad penyesuai (adapter card) dalam bekal
plastik yang dibina khas untuk antistatik.